Generasi Muda Islam Perlu Jadikan Hijrah Sebagai Cara Hidup
Generasi muda Islam di Sabah perlu menjadikan semangat Hijrah sebagai panduan dalam meningkatkan ilmu, kemahiran, sahsiah dan jati diri bagi membentuk generasi berwibawa yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata penghayatan terhadap semangat Hijrah mampu melahirkan generasi muda yang berilmu, berprinsip dan bertanggungjawab.
“Dengan ilmu, akhlak yang baik dan semangat Hijrah yang kukuh, generasi muda mampu menjadi pemimpin berwibawa dan bertanggungjawab,” katanya pada sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 peringkat daerah Tuaran pada 6 Ogos 2026.
Beliau berkata nilai yang ditunjukkan melalui peristiwa Hijrah, termasuk perancangan yang teliti, pengorbanan, kesabaran, keberanian dan keimanan kepada Allah SWT perlu terus diamalkan dalam kehidupan seharian. Katanya, usaha menuntut ilmu, membaca, menghormati ibu bapa, membantu masyarakat serta mendekatkan diri kepada Allah SWT perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan harian.
Hajiji turut menyeru umat Islam menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai titik permulaan untuk memperbaharui tekad, daripada kelemahan kepada kekuatan, perpecahan kepada perpaduan, kejahilan kepada ilmu dan sikap tidak peduli kepada rasa tanggungjawab. Beliau berkata semangat Hijrah perlu dijadikan asas untuk memperkukuh perpaduan dan membina masyarakat yang lebih maju melalui perubahan positif dalam sikap, pemikiran dan tindakan.
Ketua Menteri turut menyeru rakyat Tuaran agar terus memperkukuh kerjasama, memelihara keharmonian serta menyokong inisiatif pembangunan kerajaan. Beliau juga mengingatkan rakyat Sabah supaya kekal bersatu, mengutamakan kestabilan dan menolak sebarang unsur yang boleh menjejaskan perpaduan serta keharmonian negeri.




