UCSF Berpotensi Menerima Pelajar Antarabangsa
University College Sabah Foundation (UCSF) berpotensi membuka peluang kepada pelajar antarabangsa bagi memperluas jaringan akademik, meningkatkan reputasi institusi di peringkat global serta memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab pendidikan di rantau Borneo dan BIMP-EAGA. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata jaringan strategik UCSF dengan institusi di Brunei, Indonesia dan Filipina membuka ruang kepada mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama dan pembangunan komuniti merentas sempadan.
Menurut beliau, pengembangan program akademik termasuk MBA, Asasi Sains dan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dengan Kepujian mampu memperkukuh peranan UCSF sebagai pusat penyebaran ilmu serta melahirkan graduan Sabah yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Hajiji yang juga Canselor UCSF berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Keempat UCSF di SICC, Kota Kinabalu, pada 8 Ogos 2026.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM100 juta untuk BKNS 2026, termasuk kepada 2,182 penerima baharu. Sehingga Julai 2026, seramai 13,389 pelajar menerima BKNS. Kerajaan Negeri turut meneruskan 14 inisiatif pendidikan sejak 2021, termasuk BUDI, BAKTI, BAIK, GRS/SUBFLY dan SENTOSA, selain pelbagai skim biasiswa utama serta bantuan pendidikan melalui Yayasan Sabah.
Hajiji turut menggalakkan pelajar meneroka bidang berpotensi tinggi seperti minyak dan gas, tenaga, TVET serta kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.




