Sabah Terus Memperjuangkan Hak 40 Peratus Hasil Negeri

Aug 2026berita-sabahnews

Sabah akan terus memperjuangkan hak 40 peratus daripada hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari negeri itu sejak 1974, sebagaimana diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, tuntutan tersebut merupakan antara hak paling penting Sabah di bawah MA63 dan akan terus diperjuangkan menerusi rundingan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang pada 9 Ogos 2026. Sabah sebelum ini memperoleh keputusan penting dalam tuntutan hak 40 peratus apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 memutuskan bahawa semakan kehakiman berhubung hak negeri terhadap pemberian khas 40 peratus perlu diteruskan. Mahkamah turut mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, meliputi tempoh 1974 hingga 2021.

Kerajaan Negeri telah menerima bayaran interim daripada Kerajaan Persekutuan tanpa menjejaskan hak perlembagaan Sabah. Keputusan mahkamah itu turut mendapati mekanisme pemberian khas yang digunakan sebelum ini adalah tidak selaras dengan peruntukan perlembagaan, selain menegaskan bahawa kegagalan memenuhi tanggungjawab perlembagaan selama beberapa dekad tidak boleh diketepikan.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut. Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri akan terus menggunakan saluran rasmi dan rundingan MA63 bagi memastikan hak Sabah dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan MA63, sebanyak 13 hak telah berjaya dilaksanakan bersama Kerajaan Persekutuan, termasuk berkaitan kawal selia tenaga, lesen dan kawal selia perikanan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pentadbiran kehakiman, pengurusan Pulau Sipadan dan Ligitan, buruh serta alam sekitar.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini bersetuju menyalurkan RM26 juta kepada Sabah, sebelum jumlah itu ditingkatkan kepada RM1.5 bilion pada 2026. Peruntukan tersebut berpotensi memperkukuh pembangunan infrastruktur negeri termasuk pembinaan jalan berturap dan jambatan konkrit, penambahbaikan bekalan air dan elektrik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan seperti Rumah SMJ dan program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR). Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut terus memberi perhatian terhadap prestasi kewangan Sabah. Hasil tahunan negeri yang mencecah sekitar RM7 bilion sejak 2022 dijangka meningkat kepada RM8 bilion pada 2026.

Dalam sektor pembuatan, Sabah merekodkan pelaburan bernilai RM7.6 bilion pada 2025, meningkat 208 peratus berbanding tahun sebelumnya, walaupun berdepan cabaran ekonomi domestik dan global. Bagi sektor minyak dan gas, Kerajaan Negeri turut mencatat kemajuan dalam kerjasama dengan PETRONAS, termasuk meningkatkan penyertaan ekuiti Sabah dalam penerokaan dan pembangunan industri minyak dan gas, serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan.

Antara perkembangan utama ialah penyertaan Sabah dengan 40 peratus kepentingan ekuiti dalam projek kemudahan Floating Liquefied Natural Gas (FLNG) di Sabah serta 30 peratus kepentingan dalam dua medan minyak dan gas baharu di Pantai Timur. Dalam usaha memperkukuh sektor perindustrian, kawasan perindustrian di Kota Kinabalu, Sipitang dan Lahad Datu kini beroperasi pada kapasiti penuh. Kerajaan Negeri juga merancang pembangunan kawasan perindustrian baharu di Kota Belud dan Kudat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah.