Projek Berimpak Tinggi, Kos Rendah dan Pelaksanaan Segera

Aug 2026berita-sabahnews
Hajiji mempengerusikan Mesyuarat MTPNg Kedua bagi tahun 2026.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kepentingan menangani dengan segera dan berkesan isu keperluan asas rakyat, termasuk bekalan air dan elektrik, jalan raya, masalah banjir serta sistem perparitan dan pendidikan. Beliau menyifatkan projek yang boleh dilaksanakan dengan cepat, cekap dan memberi manfaat segera kepada rakyat sebagai projek “buah rendah” (low-hanging fruit).


“Walaupun projek mega penting, projek ‘buah rendah’ mampu memberi impak segera yang boleh dirasai dan dimanfaatkan rakyat serta kerajaan dalam tempoh lebih singkat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) pada 10 Ogos 2026 di Menara Kinabalu.


Menurut Hajiji, isu berkaitan keperluan asas boleh diselesaikan melalui projek berskala kecil kerana ia lebih pantas dan berkesan untuk dilaksanakan, selain kemudahan asas diperlukan rakyat dalam kehidupan seharian. Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini turut membincangkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dan kos rendah yang boleh menjadi pemangkin strategik kepada pembangunan negeri.

Hajiji berkata mesyuarat MTPNg perlu menjadi platform perbincangan yang konstruktif, berorientasikan penyelesaian dan tindakan, bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara cekap, sistematik dan mengikut jadual yang ditetapkan. Beliau menegaskan bahawa perkara paling penting ialah setiap dasar, program dan projek pembangunan perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, kerjasama serta komunikasi antara agensi, di samping perkongsian maklumat, perlu diperkukuh. “Dengan komitmen dan sinergi yang kukuh, kita dapat memastikan setiap projek pembangunan disiapkan mengikut jadual,” katanya.