Mengingati Keberanian Pejuang Perang Dunia Kedua di Sandakan
Sambutan Hari Peringatan Sandakan yang diadakan setiap Ogos menjadi acara tahunan bagi memperingati dan menghormati wanita serta lelaki yang berjuang dan terkorban dalam Perang Dunia Kedua demi mempertahankan kebebasan dan demokrasi.
Upacara yang berlangsung di Taman Peringatan Sandakan itu menghimpunkan keluarga, saudara-mara, sahabat serta veteran tentera dari Australia, Britain dan Sabah. Kerajaan Sabah turut menghargai sokongan berterusan Suruhanjaya Tinggi Australia dan Britain di Malaysia dalam penganjuran acara berkenaan. Majlis itu dianjurkan bersama oleh Majlis Perbandaran Sandakan dan Lembaga Pelancongan Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata keamanan perlu sentiasa dipelihara dan masyarakat harus menolak kebencian.“Kemenangan semata-mata tidak bermakna sekiranya kita melupakan harga kemanusiaan yang dibayar akibat peperangan,” katanya pada Upacara Peringatan Hari Sandakan di Taman Peringatan Sandakan pada 15 Ogos 2026.
Beliau berkata seramai 2,700 tawanan perang Australia dan Britain pernah melalui kem tahanan Sandakan sepanjang Perang Dunia Kedua, namun hanya enam rakyat Australia terselamat daripada kekejaman tersebut, masing-masing selepas berjaya melarikan diri.
Hajiji turut mengenang keenam-enam mangsa yang terselamat iaitu Bill Sticpewich, Dick Braithwaite, Owen Campbell, Keith Botterill, Nelson Short dan Bill Moxham. Menurutnya, penduduk tempatan turut memainkan peranan penting membantu tawanan perang yang melarikan diri. Antaranya, Lap dan Galunting dari Kampung Muanud yang membantu Owen Campbell ketika dalam tahanan.
Beliau turut mengenang jasa wira tempatan seperti Bariga, Dihil bin Ambilid, Abing dan Kulang yang berani berdepan dengan pihak penawan serta meredah hutan untuk membantu tawanan Australia. Katanya, Johnny dan Lillian Funk serta anggota gerakan bawah tanah Sandakan turut membantu mengumpul maklumat yang akhirnya menyumbang kepada pembebasan tawanan, walaupun sebahagian anggota gerakan tersebut ditangkap dan dihukum mati oleh tentera Jepun.
Hajiji berkata masih ramai wira yang tidak didendang dan nama serta keberanian mereka mungkin tidak pernah direkodkan sepenuhnya, namun pengorbanan mereka merupakan sebahagian penting daripada sejarah Sandakan dan Sabah. “Kita mengiktiraf keberanian tentera Bersekutu yang berjuang di Borneo semasa Perang Dunia Kedua. Kita berterima kasih dan akan sentiasa mengenang pengorbanan serta sumbangan mereka kepada keamanan dan kebebasan. “Kita mesti memelihara rekod sejarah, mendidik generasi muda tentang apa yang berlaku di sini serta terus menyebut nama para tawanan perang, tentera Bersekutu yang berani dan penduduk tempatan yang membantu mereka,” katanya.




