Pegawai Daerah Perlu Mengamalkan Pendekatan Baharu

Aug 2026berita-sabahnews
Hajiji bersama menteri, wakil rakyat serta Pegawai Daerah di ruang legar persidangan.

Pegawai Daerah memainkan peranan penting dalam memastikan dasar, program dan projek kerajaan dilaksanakan dengan berkesan, di samping bertindak secara responsif, proaktif dan berintegriti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perubahan teknologi, ekonomi global, landskap sosial serta peningkatan jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan menuntut pentadbiran awam untuk terus melakukan penambahbaikan.

Berucap pada Persidangan Pegawai Daerah Sabah Ke-29 di Keningau pada 17 Ogos 2026, Hajiji menegaskan bahawa pentadbiran kerajaan perlu lebih cekap, pantas bertindak dan berorientasikan keperluan rakyat, selain berani mengamalkan pendekatan baharu selagi mematuhi peraturan dan undang-undang.

Beliau berkata Pegawai Daerah perlu terus memperkukuh agenda pembangunan Sabah melalui Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, di samping memastikan kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran negeri.

Menurut Hajiji, setiap projek dan program perlu dilaksanakan dengan penyelarasan yang baik, disiplin serta komitmen tinggi supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat dalam tempoh yang ditetapkan. Sebarang masalah pelaksanaan atau isu penyelarasan juga perlu ditangani dengan segera dan berkesan.

Persidangan tahun ini membawa tema “Driving Innovation, Empowering Communities”, yang menekankan kepentingan inovasi dalam memperkasa komuniti dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.