Terus Semarakkan Semangat Patriotisme, Perpaduan dan Keharmonian

Aug 2026berita-sabahnews

Sabah akan menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos 2026, yang disifatkan sebagai wadah untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia di negeri ini tanpa mengira kaum dan agama.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata perpaduan kaum merupakan kekuatan utama Sabah yang perlu terus dipelihara dan diperkukuh.

“Perpaduan kaum adalah kunci kepada kekuatan kita dan mesti terus dipertahankan. Marilah kita kekal bersatu menolak sebarang unsur yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat serta terus memperkukuh jati diri, perpaduan dan keharmonian,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.

Hajiji turut menyeru rakyat Sabah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di rumah, pejabat, kenderaan serta premis perniagaan masing-masing sebagai tanda semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara serta negeri.