Rakyat Sabah Sambut Hari Malaysia

berita-sabahnewsSeptember 2026
Tun Musa Aman diiringi Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Jafry Arifin ketika tiba di SICC, Kota Kinabalu

Kerajaan Negeri Sabah kekal komited memperjuangkan kepentingan dan hak Sabah melalui saluran perlembagaan, rundingan serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata hubungan Sabah dan Kerajaan Persekutuan perlu berteraskan sikap saling menghormati, keadilan serta kesediaan melaksanakan tanggungjawab yang telah dipersetujui.

“Memperjuangkan hak Sabah bukan bermaksud menjauhkan Sabah daripada Malaysia, sebaliknya merupakan usaha memperkukuh asas pembentukan Persekutuan agar setiap pihak dihormati, tanggungjawab dilaksanakan dan rakyat menikmati kestabilan serta kemakmuran,” katanya pada sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 16 September 2026.

Beliau berkata semua hak dan kepentingan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuangkan dan direalisasikan melalui kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan. Hajiji turut menegaskan kepentingan memelihara kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan di Sabah serta mengukuhkan budaya muafakat dalam kalangan rakyat.

Beliau menyeru golongan belia agar memahami sejarah, menghargai warisan dan menyedari bahawa pembangunan negara turut menuntut tanggungjawab dalam memelihara keamanan, perpaduan dan kedaulatan.

Menurutnya, kemajuan bukan sekadar diukur melalui angka dan pembangunan fizikal, tetapi turut dilihat melalui peningkatan kesejahteraan rakyat, pengurangan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, peningkatan kesalinghubungan serta peluasan peluang ekonomi.

Kerajaan Negeri, katanya, akan terus menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan melalui pengukuhan infrastruktur, peningkatan penyampaian perkhidmatan dan usaha mempertingkat kesejahteraan rakyat.

Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 ialah “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”. Pada sambutan itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Toh Puan Faridah Tussin turut berkenan hadir di SICC.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, yang turut hadir bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Hari Malaysia peringkat negeri serta anggota Kabinet Negeri.