Bekalan Gas Sabah Dijangka Berganda Menjelang 2030
Bekalan gas Sabah dijangka meningkat hampir dua kali ganda daripada 700 juta kaki padu piawai sehari (MMscfd) kepada 1,350 MMscfd menjelang 2030, susulan pelaksanaan beberapa projek pembangunan gas luar pesisir. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sumber minyak dan gas di Sabah.
Beliau berkata strategi penyampaian bekalan gas itu digariskan dalam dua laporan, iaitu The Long-Term Gas Supply and Delivery Plan 2025 dan Sabah East Coast Gas Development Plan, yang disediakan menerusi Sabah Gas Strategy Joint Taskforce melibatkan SMJ Energy dan PETRONAS.
“Strategi ini menyediakan pelan penyampaian yang jelas bagi menjamin bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah,” katanya pada majlis penyerahan laporan berkenaan di Hotel Hilton, Kota Kinabalu pada 18 September 2026.
Menurut laporan berkenaan, peningkatan permintaan gas akan didorong oleh loji janakuasa baharu serta kemudahan PETRONAS Floating Liquefied Natural Gas 3 (PFLNG3). Bekalan tambahan itu akan disokong tujuh projek pembangunan luar pesisir melibatkan empat syarikat minyak Malaysia dan dua syarikat antarabangsa dalam tempoh empat tahun akan datang, termasuk pembangunan empat medan gas baharu.
Perkembangan itu turut dijangka merangsang pelaburan industri pembuatan baharu di koridor Pantai Barat dari Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) melalui Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT), Kimanis, Sabah Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), Sipitang hingga terminal gas di Labuan.
Bagi Pantai Timur Sabah pula, kluster medan gas Mutiara di perairan Sandakan akan membekalkan gas kepada Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park, manakala stesen janakuasa Sabah Electricity di Batu Sapi akan ditukar daripada diesel kepada turbin berkuasa gas.
Hajiji berkata perkembangan itu akan membolehkan Pantai Timur menjana tenaga sendiri berasaskan gas dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan gas dari Pantai Barat.
“Strategi ini akan membuka peluang kepada industri berasaskan gas di Sandakan dan kawasan Pantai Timur yang lebih luas untuk turut mengambil bahagian dalam sektor tenaga serta industri minyak dan gas,” katanya.




