GovTech Utamakan Pengalaman Pengguna
Kerajaan Negeri Sabah mahu penerapan teknologi kerajaan (GovTech) menjadikan perkhidmatan awam lebih mudah, pantas dan mesra pengguna, selain mengutamakan pengalaman rakyat serta penyampaian perkhidmatan secara proaktif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, GovTech perlu dimanfaatkan bagi memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara terus, lancar dan mesra pengguna.
“GovTech tidak akan bermakna tanpa perubahan sikap dan anjakan minda dalam kalangan penjawat awam. Kecekapan, integriti dan empati penjawat awam memberikan nilai kepada teknologi,” katanya pada Seminar Digital@Sabah Ke-18 dan Digital Tamu 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, 22 September 2026.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh keselamatan siber, termasuk perlindungan data peribadi rakyat yang diamanahkan kepada agensi kerajaan.
Program Digital Tamu yang berlangsung serentak dengan seminar berkenaan turut menyokong perkembangan ekosistem ekonomi digital tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Program itu menghimpunkan sehingga 30 pempamer, termasuk syarikat teknologi tempatan serta agensi sokongan seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC).




