Sabah Sasarkan Generasi Pencipta Teknologi
Sabah perlu melahirkan generasi muda yang bukan sekadar menguasai teknologi, tetapi mampu mencipta penyelesaian dan menghasilkan inovasi. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penguasaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, bioteknologi, teknologi angkasa dan tenaga boleh diperbaharui, penting dalam menghadapi perkembangan masa depan.
Beliau berkata, pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan pelaburan jangka panjang yang boleh menyokong kemajuan sektor pertanian, sekuriti makanan, biodiversiti, tenaga hijau, kesihatan, teknologi marin dan ekonomi digital.
Katanya, kerjasama kerajaan, UMS, sekolah, industri, penyelidik dan komuniti perlu diperkukuh, termasuk memperluas program STI ke kawasan luar bandar dan pedalaman serta memastikan hasil inovasi dikomersialkan dan dimanfaatkan dalam pelbagai sektor.
Beliau berkata demikian pada Program Pemupukan STI Bersepadu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, pada 23 September 2026.
Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal.




