Kerjasama Awam-Swasta Perluas Akses Pendidikan

berita-sabahnewsOctober 2026

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah terus memainkan peranan dalam membantu pelajar mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti, termasuk menerusi usaha pengumpulan dana. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Persatuan Hakka Daerah Tuaran merupakan antara contoh terbaik sumbangan masyarakat dalam menyokong pendidikan.

“Setiap sumbangan membawa harapan kepada generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pendidikan Persatuan Hakka Daerah Tuaran di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, di sini, 2 Oktober 2026.

Beliau berkata, pertubuhan seperti Persatuan Hakka Daerah Tuaran bukan sahaja penting dalam memelihara identiti dan budaya komuniti masing-masing, malah menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Hajiji turut memuji inisiatif persatuan itu membina bangunan baharu dan Muzium Mini Hakka di pekan Tuaran yang dijadualkan dirasmikan pada November ini. Menurutnya, penubuhan muzium berkenaan merupakan usaha baik untuk memelihara sejarah dan budaya masyarakat Hakka, manakala bangunan baharu itu dapat dimanfaatkan ahli serta menjadi simbol pengukuhan hubungan dengan komuniti setempat dan pertubuhan lain.

Hajiji berkata, pendidikan merupakan asas pembangunan sesebuah komuniti dan pelaburan dalam bidang itu penting bagi pembangunan modal insan generasi muda serta masa depan Sabah. Katanya, pembangunan modal insan merupakan antara keutamaan Kerajaan Negeri menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) memperuntukkan RM155 juta bagi pembiayaan biasiswa pada 2026, meningkat ketara daripada RM50 juta pada 2020. Antara 2021 hingga 2025, Kerajaan Negeri turut melaksanakan 14 inisiatif berkaitan pendidikan, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) bagi pelajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan, serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.