Sabah Perkukuh Integriti Berasaskan Hasil Perangi Rasuah
Kerajaan Negeri yakin pendekatan Integriti Berasaskan Hasil atau Outcome-Based Integrity (OBI) mampu membentuk sistem pentadbiran yang lebih berdaya tahan dan bebas rasuah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, OBI memberi tumpuan kepada tiga aspek utama, iaitu mengurangkan risiko ketirisan dan salah laku, meningkatkan kecekapan serta ketelusan penyampaian perkhidmatan awam, dan memperkukuh keyakinan rakyat serta pelabur.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 6 Oktober. Konvensyen selama dua hari bertemakan “Integriti Memacu Tadbir Urus Sabah Maju Jaya” itu menghimpunkan 2,500 peserta dari seluruh negeri.
Menurut Hajiji, tadbir urus berkesan perlu berteraskan formula 3P, iaitu proaktif, prediktif dan preventif, bagi memperkukuh langkah pencegahan rasuah serta meningkatkan keberkesanan pentadbiran.
Beliau menegaskan birokrasi yang tidak teratur membuka ruang kepada amalan rasuah dan kegiatan mendapatkan wang secara mudah, justeru setiap perbelanjaan wang awam perlu memberikan nilai dan manfaat maksimum kepada rakyat.
Antara pencapaian KITA sejak diperkenalkan pada 2023 ialah penempatan 10 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sebagai ketua Unit Integriti di setiap kementerian, pembangunan aplikasi mudah alih iAdu serta sistem i-DIMSS dan i-STANS. Selain itu, 17 pegawai agensi Kerajaan Negeri memperoleh pensijilan Certification in Professional Integrity Assurance and Management (CPIAM) daripada Universiti Sains Malaysia.
Pada peringkat nasional, Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turut menerima pengiktirafan UNGGUL menerusi pensijilan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM).
Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan memperluas penempatan CeIO dan memperkukuh peranan Unit Integriti bagi melahirkan generasi pemimpin yang berintegriti.
Katanya, tahap integriti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam amat penting bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (2026–2030) berjaya, dengan tadbir urus berteraskan integriti dikenal pasti sebagai salah satu daripada lima pemangkin strategik utama.




