Muzium Mini Hakka Pelihara Warisan Budaya Masyarakat Hakka

berita-sabahnewsOctober 2026

Muzium Mini Hakka milik Persatuan Hakka Daerah Tuaran bakal menjadi pusat rujukan bagi memelihara, mendokumentasi dan mempromosikan warisan budaya masyarakat Hakka di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, muzium itu akan menempatkan pelbagai artifak sejarah, warisan budaya, bahan berkaitan bahasa, pakaian tradisional tarian singa unicorn serta resipi masakan tradisional masyarakat Hakka.

“Muzium ini akan mendidik pengunjung mengenai sumbangan masyarakat Hakka dalam membentuk sejarah dan identiti Sabah,” katanya ketika merasmikan bangunan baharu persatuan itu dan Muzium Mini Hakka di Tuaran, pada 9 Oktober 2026.

Beliau berkata, muzium bukan sahaja berperanan memelihara budaya dan identiti sesuatu komuniti, malah menjadi penghubung antara masyarakat daripada pelbagai latar belakang serta memupuk rasa hormat, persefahaman dan perpaduan.

“Kepelbagaian budaya ialah khazanah yang perlu kita pelihara. Perpaduan dalam kepelbagaian merupakan kekuatan yang perlu terus kita pertahankan,” katanya. Masyarakat Hakka mula tiba di Sabah pada 1883 dan sejak itu memainkan peranan dalam perkembangan sosioekonomi, kebudayaan serta politik negeri ini.

Hajiji turut berharap persatuan berkenaan meneruskan usaha pembangunan belia, aktiviti kebudayaan dan program kemasyarakatan. Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama dengan pertubuhan masyarakat dan sektor swasta bagi menyelaraskan pelbagai inisiatif pembangunan.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.