Sabah Tingkatkan Peruntukan Pendidikan

berita-sabahnewsOctober 2026
James menerima cenderamata daripada penganjur selepas mewakili di SMJK Tiong Hua, Sandakan.

Kerajaan Negeri terus meningkatkan peruntukan tahunan bagi membantu sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM90 juta pada 2026. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus berpegang kepada prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman untuk semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

“Kaum atau agama bukanlah isu. Keperluan rakyat dan masa depan Sabah menjadi keutamaan. Komitmen kita adalah untuk menyediakan akses pendidikan yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan Dewan Pusat Aktiviti Pelajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sandakan, pada 10 Oktober 2026.

Beliau berkata, peruntukan tahunan bagi bantuan kepada sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam meningkat secara berperingkat, iaitu RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta pada 2023, RM56.75 juta pada 2024 dan RM70 juta pada 2025.Bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), peruntukan tahunan turut meningkat daripada RM50 juta pada 2020 kepada RM155 juta pada 2026.

Selain itu, kerajaan meneruskan pelaksanaan 14 inisiatif bantuan pendidikan sejak 2021, selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan. Hajiji berkata, kemudahan baharu di SMJK Tiong Hua mencerminkan komitmen bersama pihak sekolah, ibu bapa, komuniti, alumni dan sektor swasta dalam melahirkan generasi muda yang berpendidikan serta berkemahiran.

Beliau turut memuji semangat perpaduan yang ditunjukkan warga sekolah berkenaan apabila pelajar daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama belajar serta bergaul bersama. Menurutnya, sekolah itu dan komuniti setempat menjadi kebanggaan penduduk Sandakan kerana berjaya melahirkan ramai anak Sabah yang cemerlang dalam pelbagai bidang, termasuk akademik, perniagaan, kepimpinan dan perkhidmatan awam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib.