Sukan, Kecergasan Dan Gaya Hidup Sihat Perlu Menjadi Pilihan Masyarakat

berita-sabahnewsOctober 2026
Hajiji melakukan flag off Larian Ria Madani / Berjalan Ria Madani sempena Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026.

Rakyat Sabah, khususnya golongan belia, digesa menjadikan sukan, kecergasan dan gaya hidup sihat sebagai amalan harian bagi memastikan kesejahteraan hidup yang lebih baik. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sukan bukan sahaja membentuk masyarakat yang sihat, aktif dan produktif, malah menjadi wadah untuk menyatukan rakyat.

“Sukan mengajar kita nilai disiplin, kepimpinan, kerja berpasukan, ketahanan diri serta keazaman untuk tidak mudah berputus asa. Nilai-nilai ini perlu dipupuk bagi melahirkan generasi muda yang berkemampuan dan berdaya saing,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Sukan Negara 2026 peringkat negeri di Padang Istiadat, Tuaran, pada 10 Oktober 2026.

Hajiji berkata, sambutan Hari Sukan Negara bertujuan menjadikan aktiviti sukan, kecergasan dan kehidupan aktif sebagai sebahagian daripada rutin harian masyarakat.

Sabah menyasarkan penyertaan seramai 651,610 orang dalam sambutan tahun ini yang melibatkan beberapa zon, termasuk Tuaran, Tawau, Sandakan, Beaufort, Kudat dan Keningau. Menurutnya, sambutan itu juga perlu menjadi pemangkin kepada masyarakat daripada semua peringkat umur untuk mengamalkan gaya hidup aktif.

Selain itu, program berkenaan dapat menjadi platform mengenal pasti bakat muda berpotensi di peringkat daerah untuk dibimbing sehingga mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Hajiji turut memaklumkan bahawa Sabah akan melaksanakan inisiatif khas bagi mempertingkatkan sektor penjagaan kesihatan, selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.