Bandar Pesisir Perlu Seimbang Pembangunan Ekonomi Dan Alam Sekitar

berita-sabahnewsOctober 2026

Bandar-bandar pesisir perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar serta memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim, termasuk kenaikan paras laut, cuaca ekstrem dan pencemaran. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerjasama dan perkongsian pengetahuan antara bandar penting bagi membangunkan persekitaran bandar yang lebih selamat, bersih dan berdaya tahan.

“Kita boleh berkongsi idea dan pengetahuan dalam membangunkan bandar yang lebih selamat, bersih dan berdaya tahan,” katanya ketika merasmikan Kota Kinabalu International Mayors’ Dialogue (KKIMD) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada 12 Oktober 2026. Beliau berkata, usaha menyesuaikan diri dengan perubahan iklim perlu menjadi sebahagian daripada pengurusan bandar harian, merangkumi sistem perparitan, sanitasi, kawalan banjir, perlindungan pesisir serta pemulihan hutan bakau dan sungai.

Menurutnya, pendekatan berasaskan alam semula jadi dapat membantu melindungi masyarakat dan ekosistem yang menyokong ekonomi biru. Dialog itu menghimpunkan peserta dari lapan negara dan 15 bandar, termasuk wakil Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Hajiji berkata, Sabah yang terletak dalam kawasan Segi Tiga Terumbu Karang, antara wilayah marin paling kaya dengan biodiversiti di dunia, bergantung kepada sumber laut untuk menyokong mata pencarian rakyat, keselamatan makanan dan industri maritim. Justeru, katanya, perlindungan ekosistem marin penting bagi memastikan kelestarian ekonomi negeri dalam jangka panjang.

Beliau berkata, penubuhan Taman Tun Mustapha merupakan antara usaha Sabah memperkukuh perlindungan ekosistem marin, manakala agenda Ekonomi Biru negeri membuka peluang pembangunan mampan dalam sektor perikanan, akuakultur, bioteknologi marin, perkhidmatan maritim, pelancongan pesisir dan pulau, tenaga boleh baharu marin serta logistik.

“Matlamat kita adalah membangunkan peluang ini secara bertanggungjawab supaya laut Sabah terus menyokong ekonomi dan kehidupan masyarakat,” katanya. Hajiji turut berkata, Sabah sedang melaksanakan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024–2034, yang menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi.

Beliau berharap cadangan Kenyataan Bersama Kota Kinabalu dapat mewujudkan komitmen bersama dalam kerjasama Ekonomi Biru, tadbir urus digital, daya tahan bandar dan perkongsian antarabangsa. Katanya, penubuhan rangkaian KKIMD serta pelaksanaan penilaian kemajuan tahunan juga berpotensi memastikan komitmen yang dipersetujui diterjemahkan kepada tindakan berterusan.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.