Setiap Daerah Perlu Bangunkan Produk Pelancongan Unik

berita-sabahnewsOctober 2026

Setiap daerah di Sabah perlu memanfaatkan keindahan alam semula jadi, bakat dan sumber tempatan untuk membangunkan produk pelancongan berasaskan pengembaraan, alam semula jadi dan kebudayaan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kota Belud antara destinasi yang mempunyai potensi pelancongan besar tetapi masih belum diterokai sepenuhnya.

“Kota Belud diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark, manakala Tamu Besar Kota Belud yang berusia 148 tahun merupakan acara tahunan dalam kalendar pelancongan Sabah, dengan tarikan budaya unik, makanan tempatan, kraftangan dan cara hidup tradisional,” katanya ketika merasmikan Tamu Besar Kota Belud 2026 pada 17 Oktober 2026. Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Hajiji berkata, Tamu Besar Kota Belud sejak sekian lama menjadi medan pertemuan masyarakat pelbagai kaum dan agama, termasuk Bajau-Samah, Kadazandusun, Murut, Iranun dan Cina. “Semangat perpaduan yang kukuh di tamu ini membuktikan kepelbagaian kaum dan agama di Sabah merupakan antara tonggak kekuatan kita dalam bersama-sama merealisasikan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Kota Belud, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Pembangunan SMJ 2.0. Antara projek yang diberi perhatian ialah laluan Lebuhraya Pan Borneo bagi seksyen Kota Belud–Wariu yang hampir siap serta penubuhan Pusat Ekonomi Digital di bangunan Majlis Daerah Kota Belud.

Menurutnya, Kota Belud turut mempunyai kekuatan dalam sektor pertanian, khususnya penanaman padi, pengeluaran makanan, kraftangan dan pelancongan. Hajiji berkata, daripada 12,000 usahawan di Sabah yang menerima geran perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seramai 1,800 orang adalah dari Kota Belud. “Ini mencerminkan potensi dan keupayaan besar usahawan di daerah ini yang perlu terus disokong dan diperkasakan,” katanya.