KM Tinjau Pembinaan 20 Rumah Mesra SMJ di Kudat

berita-sabahnewsOctober 2026
Hajiji diberi penerangan oleh Pembantu Menteri Kewangan Negeri merangkap ADUN Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong semasa meninjau Rumah Mesra SMJ, Kudat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meninjau projek pembinaan 20 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) jenis bertiang secara berkelompok di Kampung Perpaduan Ria 2, pada 17 Oktober 2026.

Projek yang bermula pada Ogos 2026 itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini, dengan kos pembinaan RM95,000 bagi setiap unit. Rumah Mesra SMJ merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah, miskin, pemilik rumah daif serta mereka yang belum memiliki rumah sendiri, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.

Program itu dilaksanakan di seluruh 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada golongan memerlukan.

Bagi 2026, kerajaan meningkatkan kuota pembinaan Rumah Mesra SMJ daripada 40 kepada 50 unit bagi setiap DUN. Daripada jumlah itu, tambahan 10 unit diperuntukkan khusus kepada golongan muda berumur 40 tahun ke bawah yang telah berkahwin tetapi belum memiliki rumah sendiri.