Sabah dan Itali Perkukuh Kerjasama Dua Hala
Sabah berhasrat memperkukuh kerjasama dua hala dengan Itali, khususnya dalam meneroka peluang pelaburan dalam sektor minyak dan gas, pelancongan serta pendidikan tinggi.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah mengalu-alukan minat kerajaan dan komuniti perniagaan Itali untuk meneroka lebih banyak peluang perniagaan di negeri ini. Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Duta Itali ke Malaysia, Raffaele Langella, di Menara Kinabalu pada 26 Oktober 2026.
Langella berkata, Itali amat berminat meneroka peluang pelaburan di Sabah dan sokongan dalam mengenal pasti prospek pelaburan berpotensi dapat membantu syarikat Itali mengukuhkan kehadiran mereka di negeri ini.
“Minat di Itali amat besar. Mereka mengetahui bahawa terdapat banyak peluang untuk diterokai di Sabah. Namun, mereka memerlukan bantuan, khususnya dalam mengenal pasti prospek pelaburan, dan saya telah membincangkan dengan Ketua Menteri bagaimana usaha ini dapat diteruskan,” katanya. Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, Langella berkata, Itali turut berminat menyokong usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan.
Beliau berkata, pendidikan tinggi juga merupakan bidang kerjasama yang berpotensi, khususnya melalui perkongsian antara universiti di Itali dan Sabah. “Kerjasama universiti merupakan bidang yang sangat menarik dan menjanjikan. Universiti di Itali semakin berdaya saing dan berminat memperluas aktiviti mereka di rantau ini, khususnya di Sabah,” katanya.
Langella berharap pertemuan itu dapat membuka ruang kepada hubungan dua hala yang lebih erat serta menghasilkan kerjasama yang bermakna pada masa hadapan.




