Perbelanjaan Pembangunan Persekutuan Sabah Meningkat Kepada 71.78 Peratus

berita-sabahnewsOctober 2026

Prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah meningkat kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober 2026 berbanding 52.07 peratus pada 10 Ogos lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata, sebanyak 290 projek pembangunan di Sabah berjaya disiapkan tahun ini, termasuk Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di Penampang.

“Ini membuktikan keupayaan kita melaksanakan projek pembangunan dengan jayanya dan prestasi positif ini perlu dikekalkan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu pada 28 Oktober 2026.

Hajiji menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana memaksimumkan penggunaan baki peruntukan pembangunan sebelum berakhirnya tahun kewangan 2026, khususnya bagi projek yang masih mempunyai peruntukan belum dibelanjakan atau mengalami kelewatan pelaksanaan. Katanya, isu berkaitan kelulusan teknikal, pengambilan tanah, pemindahan utiliti, perolehan serta pengurusan kontrak perlu dikenal pasti dan diselesaikan segera melalui penyelarasan berkesan antara agensi berkaitan.

“Setiap peruntukan pembangunan ialah amanah yang perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat. Peruntukan yang diluluskan mesti menghasilkan kemudahan dan penambahbaikan yang dapat dirasai rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menyambut baik peruntukan RM18.7 bilion untuk Sabah di bawah Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu, meningkat berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini. Beliau berkata, peningkatan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menangani keperluan pembangunan Sabah, khususnya berkaitan infrastruktur asas dan kesejahteraan rakyat.

Antara projek keutamaan ialah Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, penambahbaikan bekalan elektrik melalui projek Sistem STATCOM di Dam Road dan Segaliud, Sandakan, serta Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang. Beliau turut menekankan peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak, yang disifatkan mampu memperbaiki persekitaran pembelajaran serta kemudahan pendidikan.

Hajiji menggesa kementerian dan agensi berkaitan memastikan persediaan rapi serta pelaksanaan semua projek mengikut keutamaan dan jadual ditetapkan. Beliau menegaskan mesyuarat MTPNg perlu menjadi platform untuk menyelesaikan cabaran pelaksanaan dan mendorong tindakan konkrit, bukan sekadar membincangkan masalah.

“Saya yakin melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta komitmen semua agensi pelaksana, agenda pembangunan Sabah dapat diteruskan secara mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya. Beliau menambah, kejayaan pembangunan bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau projek yang dilaksanakan, tetapi juga impaknya terhadap kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengalu-alukan pelantikan Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad, sambil berharap kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dilaksanakan dengan berkesan.