Pemaju Hartanah Perlu Utamakan Pembangunan Mampan dan Rumah Mampu Milik
Pemaju perumahan dan hartanah di Sabah perlu memberi tumpuan kepada pembangunan mampan, perancangan bandar yang lebih teratur serta penyediaan rumah mampu milik yang memenuhi keperluan alam sekitar negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pemaju perlu bekerjasama dengan kerajaan mencari penyelesaian praktikal bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, keluarga muda dan golongan berpendapatan sederhana tanpa menjejaskan daya maju projek.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) pada 31 Oktober 2026 di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pemain industri bagi mempercepat serta memperjelas proses kelulusan, memperkukuh infrastruktur asas dan menangani kekangan pembangunan tanpa mengabaikan aspek keselamatan, alam sekitar serta kepentingan awam.
Beliau turut mengakui cabaran sektor hartanah, termasuk proses kelulusan yang panjang serta masalah bekalan elektrik dan air yang tidak konsisten.
Katanya, industri hartanah memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam sektor pertanian, perindustrian, pelancongan dan infrastruktur.
Beliau berharap kerjasama kerajaan dan industri bukan sahaja dapat meningkatkan pembangunan hartanah, tetapi turut membina komuniti lebih kukuh serta ekonomi yang berdaya tahan untuk generasi akan datang.




