SKPR Tubuh Pusat Sokongan Pesakit Kanser Payudara

berita-sabahnewsOctober 2026

Sabah Kinabalu Pink Ribbon (SKPR), organisasi yang ditubuhkan pada 2010 oleh sekumpulan bekas pesakit kanser payudara, terus komited meningkatkan kesedaran, memberi sokongan kepada pesakit dan bekas pesakit serta membantu keluarga memahami kepentingan sokongan komuniti.

Menerusi peruntukan RM300,000 daripada kerajaan negeri, SKPR berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penubuhan pusat The Pink Haven bagi menyediakan tempat penginapan dan sokongan kepada pesakit kanser payudara serta penjaga sepanjang menjalani rawatan khusus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pusat itu berkonsepkan rumah kedua bagi meringankan beban pesakit dari kawasan luar bandar dan daerah lain yang perlu ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, kemudahan itu menyediakan keselesaan dan sokongan emosi kepada pesakit serta penjaga yang terpaksa berjauhan daripada keluarga sepanjang tempoh rawatan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pembukaan The Pink Haven by SKPR pada 31 Oktober 2026 di Kota Kinabalu. Ucapan beliau disampaikan oleh Penolong Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal.

Hajiji turut menghargai peranan SKPR serta kerjasama institusi kesihatan, organisasi masyarakat, penderma dan sukarelawan dalam membantu pesakit kanser dan keluarga mereka.