Kerajaan GRS Perkasa Mahkamah Anak Negeri Melalui Reformasi Perundangan

berita-sabahnewsNov 2026
Hajiji menandatangani plak perasmian projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran.

Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuh institusi Mahkamah Anak Negeri menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Julai lalu. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kelulusan RUU itu merupakan satu perkembangan bersejarah yang membuka ruang kepada pemodenan sistem perundangan tradisional masyarakat pribumi agar terus relevan dengan perubahan semasa.

“Usaha ini bertujuan memastikan bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri lebih jelas, tersusun dan berupaya memelihara serta mempertahankan undang-undang adat tempatan,” katanya pada 11 November 2026. Beliau berkata, susulan kelulusan RUU berkenaan, beberapa pembaharuan utama telah dilaksanakan, termasuk penstrukturan sistem kehakiman yang lebih mantap dan profesional menerusi penubuhan Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.

Pembaharuan itu turut merangkumi pewujudan jawatan Ketua Hakim dan Hakim Besar Mahkamah Anak Negeri, Peguam Mahkamah Anak Negeri serta Pendaftar, manakala pelantikan hakim akan dibuat berdasarkan merit. Katanya, reformasi itu merupakan langkah penting dalam meletakkan undang-undang adat anak negeri pada kedudukan yang lebih dihormati dan setara dalam sistem perundangan negara.

Kerajaan Negeri juga akan menaik taraf bangunan mahkamah, termasuk Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah, selain membina mahkamah baharu di beberapa daerah. Hajiji berkata, pembangunan Sabah perlu turut merangkumi usaha memelihara identiti, warisan dan institusi perundangan adat masyarakat pribumi.