GRS, PH dan BN Teruskan Kerjasama Politik
Kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan diteruskan bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri serta kesinambungan agenda pembangunan Sabah.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perbincangan mengenai kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang belum dimulakan, namun kerjasama sedia ada dalam kerajaan negeri akan dikekalkan dengan GRS terus menerajui pentadbiran negeri.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Ketua Menteri bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 23 November 2026.
Hajiji berkata, kestabilan politik penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat dirancang dan dilaksanakan secara lebih tersusun serta berkesan. Menurutnya, hasil pendapatan Sabah meningkat daripada RM4 bilion ketika GRS mengambil alih pentadbiran kepada RM8 bilion, manakala rizab kewangan negeri turut meningkat daripada RM2.8 bilion kepada lebih RM7 bilion.
Beliau berkata, pendapatan negeri dijangka terus meningkat menerusi sektor minyak dan gas, termasuk penyertaan ekuiti 15 peratus dalam dua telaga minyak PETRONAS di kawasan Sandakan yang dijadual beroperasi pada 2029, kepentingan 25 peratus dalam medan minyak di Pulau Sebatik serta pegangan ekuiti 40 peratus dalam projek gas asli cecair terapung (FLNG) di pantai barat Sabah.
Selain itu, PETRONAS turut menganugerahkan 449 kontrak kepada syarikat tempatan Sabah, berbanding kurang daripada 10 syarikat sebelum ini.




