Sukan BIMP-EAGA Eratkan Persahabatan Serantau
KOTA KINABALU – Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 yang berlangsung dari 23 hingga 27 November 2026 menjadi platform memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara negara anggota. Sejak diperkenalkan pada 1996, temasya dwitahunan itu bertujuan mengeratkan hubungan budaya dan diplomasi sukan dalam kalangan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.
Bertemakan “Spirit of Strength, Heart of Harmony”, temasya kali ini menampilkan maskot Olumis dan Avantang yang diinspirasikan daripada monyet belanda atau proboscis monkey. Sebanyak 312 pingat dipertandingkan menerusi sembilan acara sukan. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, temasya itu bukan sekadar platform kerjasama ekonomi, malah menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat serantau melalui sukan, perkongsian pengalaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam pada majlis pembukaan di Magellan Sutera, Kota Kinabalu, 23 November. Hajiji turut menyatakan harapan agar setiap atlet membawa pulang bukan sahaja kejayaan dan pingat, tetapi juga kenangan bermakna serta persahabatan yang berkekalan.
Walaupun kontinjen Indonesia tidak dapat menyertai edisi kali ini, beliau menegaskan bahawa negara itu kekal sebagai sebahagian daripada keluarga BIMP-EAGA dan diharap dapat menyertai temasya akan datang.




