Guru Besar Mainkan Peranan Penting Kejayaan Transformasi Pendidikan Digital

August 2024berita-sabahnews
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor beramah mesra dengan sebahagian guru besar yang hadir sempena Majlis Perasmian Persidangan Agung dan Konvensyen Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah Kali Ke-2; dan upacara penyerahan replika cek Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin.

Guru besar memainkan peranan dalam memastikan kejayaan transformasi pendidikan digital sekolah di Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, guru besar adalah pemimpin untuk membawa perubahan, memberi inspirasi dan bimbingan kepada guru-guru serta pelajar-pelajar di setiap sekolah.

Oleh itu, guru besar haruslah tingkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi pendidikan. Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong inisiatif dan program yang akan membantu dalam meningkatkan infrastruktur digital di sekolah-sekolah.

Era digital telah membawa perubahan dalam setiap aspek kehidupan kita, termasuk dalam bidang pendidikan. Dengan itu, ia merupakan tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa sistem pendidikan seiring dengan perubahan ini. Pendidikan digital bukan sahaja sekadar penggunaan alat teknologi, malah ia juga merupakan membantu dalam pengurusan, pengajaran dan pembelajaran.

“Pendidikan digital adalah penting untuk kita budayakan sebagai bahan interaktif untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, memupuk pemikiran kritis, dan melahirkan generasi yang inovatif dan kreatif,” katanya pada 29 Ogos 2024, ketika merasmikan Persidangan Agung dan Konvensyen Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah Kali Kedua di ITCC Ballroom, Penampang.

Tambahan itu, beliau berkata aspek kualiti dan kecemerlangan pendidikan harus menjadi fokus utama dalam setiap program semasa mendidik para pelajar berkemahiran, serta menyediakan aset pembangunan sosial yang dinamik dan berdaya saing.

“Saya percaya bahawa dengan kerjasama dan dedikasi kita semua, kita mampu membawa pendidikan di negeri kita ke tahap yang lebih tinggi dan memastikan generasi masa depan kita bersedia untuk menghadapi cabaran dunia digital,” katanya.

Dengan itu, Ketua Menteri percaya bahawa Semua inisiatif yang dilaksanakan adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan Pelan Strategik Kerajaan Digital di negeri ini menjelang tahun 2025. Pemasangan 300 buah peranti Starlink di seluruh kawasan Sabah, pada bulan Mei 2024, dan bagi yang mempunyai isu sambungan internet telah dikenal pasti dan penyelesaian interim kepada kawasan akan diperbaiki, katanya agar dapat meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah.