Kepentingan Politik Sopan-santun, Perpaduan & Pembangunan Untuk Sabah
Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Pakatan Harapan (PH) Plus menekankan kepentingan prinsip politik sopan-santun, politik perpaduan dan politik pembangunan sebagai acuan dalam membawa Sabah ke arah kemajuan dan kemakmuran. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata beliau berpendirian tiga prinsip itu penting untuk dipelihara dan terus diamalkan sesuai dengan cara hidup orang Sabah yang ramah-tamah, bertoleransi dan berharmoni.
"Sesungguhnya, sebagai rakyat Malaysia dan orang Sabah, kita semua menginginkan kemajuan dan pembangunan yang boleh dinikmati sepenuh-penuhnya. "Kita juga mahukan keamanan dan kemakmuran yang hakiki, tanpa perlu ada rasa takut atau terancam dalam menjalani kehidupan. Semua keinginan ini hanya boleh dicapai jika negeri dan negara kita aman dan stabil, rukun dan damai," katanya Ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-39, pada 29 Oktober 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.
Beliau turut menekankan kepentingan kestabilan politik sebagai asas kepada kemajuandan kesejahteraan sesebuah negeri dan negara dalam konteks berkerajaan. "Tanpa kestabilan dan keamanan, segala yang kita inginkan hanya tinggal angan-angan. Kestabilan politik sukar untuk dicapai jika pemimpin bercerai-berai. "Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat saling bersengketa dan berbalah, yang akhirnya membawa kepada perpecahan, kelemahan dan kehancuran," katanya.
Walaupun keluarga besar GRS yang terdiri daripada pelbagai parti, meskipun berbeza latar belakang perjuangan, semua parti komponen berkongsi objektif yang sama atas nama negeri dan rakyat Sabah. Objektif itu, katanya iaitu ke arah Sabah yang bersatu, progresif, dinamik, aman dan sentosa menjadi pegangan GRS bersandarkan konsep memperkukuh kesatuan dalam kepelbagaian. "Melalui gabungan ini juga, kita menyelami hati budi rakyat dan memperjuangkannya demi kebaikan dan kesejahteraan bersama. "Justeru, di dalam gabungan ini, perbezaan dan kepelbagaian bukannya batu penghalang untuk kita langkah ke hadapan.
Dalam gabungan itu, katanya agenda utama GRS-PH Plus ialah komitmen untuk menjaga kepentingan bersama meliputi segenap lapisan masyarakat, secara adil dan saksama, tanpa mengira kelompok majoriti atau minoriti. "InsyaAllah, gabungan ini akan terus kita perkukuhkan demi kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna untuk kecemerlangan masa hadapan," katanya. Dalam ucapannya, Hajiji turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-17(PRN17) yang diakuinya sudah semakin hampir untuk kerajaan pimpinannya memulangkan kembali mandat kepada rakyat melalui proses demokrasi.
"Tahun 2025 adalah tahun pilihan raya. Dengan itu, kita akan serah kembali kuasa kepada rakyat untuk undi. Sebagai "Government of the Day", GRS-PH Plus, akan terus berkhidmat dan berbakti selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir. "Menjelang pilihan raya nanti, kita akan terus menawarkan parti kita dan gabungan kita kepada rakyat kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan negeri yang tercinta ini. "Sebagai kerajaan pilihan rakyat, GRS-PH Plus adalah platform terbaik untuk kita memantapkan gabungan demi meneruskan agenda perjuangan," katanya.
PBS yang ditubuhkan hampir 40 tahun lalu terus mara mengharungi samudera politik Sabah yang kadang-kala bergelora tetapi penuh dengan warna-warni. "Situasi itu menyebabkan Sabah sering menjadi tumpuan penganalisis politik, termasuklah parti PBS ini sendiri, kerana PBS adalah 'part and parcel of Sabah Politics', yang sejak dahulu sering menarik perhatian umum," katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah pengasas PBS, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden-presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).