Kerajaan Sabah Perhebat Program Bantuan Miskin Tegar 2025
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan akan meningkatkan program untuk membantu miskin tegar dengan pemberian bantuan bulanan sebanyak RM300 seorang selama satu tahun, melibatkan seramai 100,000 orang penerima, agar dapat mengurangkan bebanan hidup. Selain itu, program pemberian rumah kediaman juga akan diberikan kepada golongan miskin tegar, dengan sebanyak 3,000 buah Rumah Mesra SMJ akan dibina pada tahun 2025.

“Program bantuan rumah kediaman ini, termasuk inisiatif memberikan pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) golongan miskin tegar, yang telah bermula sejak dua tahun yang lalu”, katanya pada 22 Mac 2025 di Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Tahun 2025 di Padang Istiadat Daerah Tuaran. Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.
Berikut merupakan bantuan-bantuan Kerajaan Sabah yang telah dilaksanakan:
- Bantuan subsidi tiket kapalterbang sebanyak RM600 kepada pelajar-pelajar Sabah yang sedang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang ingin pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
- Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) diperuntukkan bantuan sebanyak RM300.00 seorang.
Dengan kepimpinan negara, Anwar telah berjaya meletakkan kembali kedudukan Malaysia di persada dunia. Katanya, PM sering diundang ke pelbagai majlis forum antarabangsa untuk menyampaikan pandangan negara kita berkaitan kepentingan komuniti antarabangsa. “Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dengan membawa pelaburan yang bernilai ratusan bilion ringgit. “Semua ini adalah indikator yang menunjukkan bahawa penambahbaikan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat di bawah kepimpinan Anwar”, katanya. Tambahan itu, pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, juga merupakan indikator yang mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kebolehan dan kemampuan pimpinan negara.
Hajiji berkata, semangat toleransi yang tinggi dan perpaduan adalah kunci kepada kesatuan dan kekuatan masyarakat kita untuk terus menikmati kehidupan dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera. Katanya, majlis berbuka puasa secara berkumpulan di setiap kawasan dan perkampungan di Sabah akan turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan beragama Islam.