Komitmen Kerajaan Sabah Perkasa Prestasi Pencapaian Hala Tuju SMJ
Dengan pencapaian Hala Tuju Sabah Maju Jaya (HTSMJ) 1.0 (2021-2025) kini, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor gembira dengan prestasi SMJ. Beliau ingin Kementerian-Kementerian, jabatan-jabatan dan agensi negeri akan terus bekerja keras bagi memastikan prestasi pencapaian HTSMJ terus ditingkatkan. "Kita akan terus bekerja keras bagi mencapai prestasi lebih baik lagi terutamanya inisiatif-inisiatif yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan", katanya pada 14hb April 2025 semasa menerima Buku Laporan Tahunan HTSMJ 1.0 (2021-2025) bagi tahun 2024 di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Ketua Pegawai Penyelaras (CCO) Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Datu Rosmadi Sulai menyerahkan buku laporan itu dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong. Hajiji berkata, laporan tahun 2024 merupakan dokumen penting yang merumuskan pencapaian pelaksanaan inisiatif-inisiatif utama di bawah rangka pelan Pembangunan 5 tahun HTSMJ 1.0 yang menjadi tunjang utama kepada transformasi sosio-ekonomi negeri, termasuk Ekonomi Biru.
Di samping itu, sejumlah 446 inisiatif telah dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan di bawah Pelan SMJ1.0, dengan pencapaian positif iaitu 94.47%. "Pencapaian ini merupakan manifestasi seluruh jentera pentadbiran negeri dalam menjayakan agenda pembangunan Sabah secara inklusif, mampan dan berimpak tinggi", katanya. Menurutnya, penyerahan laporan ini bukan sahaja menjadi simbol kepada ketelusan dan akauntabiliti Kerajaan Negeri, malah menandakan kemajuan yang telah dicapai serta halatuju masa depan Sabah dalam mengharungi fasa terakhir pelaksanaan SMJ 1.0 menjelang 2025.