Kumpulan Kibing Buka 700 Pekerjaaan
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kagum terhadap usaha Kumpulan Kibing dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada 700 lagi rakyat Sabah melalui program pengambilan pekerja terbarunya yang bermula pada bulan Mei 2025. Perkembangan positif ini bukan sahaja mempertingkatkan komuniti tempatan kita tetapi juga memupuk kemakmuran bersama. "Syabas dan terima kasih,” katanya pada 25hb April 2025 di majlis sambutan Aidilfitri bersama warga Kibing di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Beliau menyatakan pengambilan anak-anak Sabah untuk peluang pekerjaan haruslah dititikberatkan, bukan hanya untuk mengupah anak , tetapi juga melabur dalam latihan dan perkembangan mereka. "Usaha kolektif ini adalah penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja tempatan kita memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan industri,” katanya.

Mengimbas satu detik peristiwa yang amat bermakna apabila Kumpulan Kibing memulakan pembinaan kilang pembuatan kaca solar berteknologi tinggi bernilai RM2.5 bilion di Sabah pada tahun 2022. Kini, kehadiran Kumpulan Kibing bukan sahaja satu usaha transformasi untuk Sabah tetapi juga merupakan bukti kejayaan Kerajaan Negeri dalam meneruskan projek-projek berimpak tinggi untuk kemajuan dan meningkatkan ekonomi negeri.
Tambahan itu, Kumpulan Kibing juga telah mencapai kemajuan besar apabila pada bulan November tahun lalu, dalam satu lagi projek untuk membina kilang pembuatan kaca solar baharu bernilai RM7.2 bilion di Kimanis. “Hingga kini, kesan positif kehadiran Kumpulan Kibing di Sabah dengan lebih RM50 juta nilai kontrak telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat tempatan dan juga pengeluaran pertama Kibing kini beroperasi penuh, mengeksport 1,500 kontena bernilai USD14 juta sebulan.
Pengeluaran kedua Kibing dijangka mencapai pengeluaran penuh pada bulan Jun tahun ini, manakala pengeluaran ketiga dijadualkan mencapai pengeluaran penuh dalam tahun ini. Destinasi eksport Kumpulan Kibing adalah Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Utara, Afrika, dan Eropah. Beliau yakin Kerajaan Negeri bertekad untuk mewujudkan persekitaran yang menarik lebih banyak pelabur ke Sabah.
