Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) Kukuhkan Agenda Ekonomi Biru Sabah

berita-sabahJune 2025news
Hajiji bersama ahli Majlis Ekonomi Biru Sabah di mesyuarat sulung.

Sabah memperkukuh agenda pembangunan mampan menerusi penubuhan rasmi Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) sebagai platform strategik menyelaras dasar dan pelaksanaan sektor ekonomi biru negeri. Penubuhan MEBS diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah Siri 10 Tahun 2025 dan mesyuarat sulungnya dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada 16 Jun 2025 di Menara Kinabalu.

Hajiji berkata, MEBS diwujudkan bagi memastikan pembangunan sektor ekonomi biru dijalankan secara berstruktur, bersepadu dan memberi impak tinggi, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“MEBS akan menyelaras dasar utama, meluluskan program berimpak tinggi dan memantau pelaksanaan strategi ekonomi biru demi menjamin pertumbuhan ekonomi mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya.

Menurut beliau, MEBS juga akan menjadi pemacu kepada pemindahan teknologi dan inovasi dalam sektor maritim, sejajar keperluan ekonomi moden yang menekankan kelestarian dan teknologi canggih.

“Ini adalah langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, industri, akademia dan komuniti bagi menjadikan Sabah peneraju ekonomi biru di rantau ini,” tambahnya.Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dilantik sebagai Urus Setia MEBS untuk menyelaras pelaksanaan keputusan-keputusan majlis.