Pembangunan Modal Insan Jadi Teras Agenda Ekonomi Sabah

berita-sabahJune 2025news

Pembangunan modal insan terus menjadi teras utama Kerajaan Negeri dalam usaha memacu agenda ekonomi Sabah, khususnya dalam meneroka potensi besar sektor ekonomi biru yang semakin berkembang pesat. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendekatan ini amat penting bagi memastikan rakyat Sabah memiliki kemahiran dan pengetahuan yang relevan, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi global.

“Modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi amat diperlukan untuk menyokong pembangunan negeri,” katanya dalam ucapan perasmian Sabah Blue Economy Skillfest 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 19hb Jun 2025.

Hajiji berkata, menerusi pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri telah merangka dasar pembangunan yang inklusif dan mampan, dengan memberi keutamaan kepada peningkatan kapasiti dan kebolehan rakyat dalam menghadapi era ekonomi baharu.

Sejak 2021 hingga 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM848 juta bagi tujuan pendidikan yang memberi manfaat kepada 245,953 penerima, merangkumi:

  • RM227.1 juta melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah kepada 7,483 penerima;
  • RM324.1 juta dalam bentuk Biasiswa Kerajaan Negeri kepada 13,640 penerima;
  • RM164.14 juta menerusi Bantuan Pendidikan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) kepada 210,918 penerima; dan
  • RM132.92 juta melalui bantuan dan pinjaman Yayasan Sabah kepada 13,921 penerima.

“Bagi tahun 2025, sebanyak RM497 juta lagi diperuntukkan untuk meneruskan agenda pemerkasaan modal insan demi melahirkan generasi kompeten, berinovasi dan berintegriti,” katanya.Menurut Hajiji, HRD Corporation berjaya melatih 61,448 pekerja di Sabah sepanjang tahun 2024 dengan jumlah pembiayaan melebihi RM58.2 juta. Beliau yakin pelaksanaan program seperti Skillfest akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dalam sektor berkaitan ekonomi biru.

Skillfest 2025 menyasarkan penyertaan seramai 2,500 peserta dan merupakan sebahagian daripada Minggu Latihan Kebangsaan 2025 – Sabah, yang keseluruhannya menyasarkan lebih 67,000 penyertaan di seluruh negeri.Program ini juga merupakan kesinambungan kejayaan Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang telah meletakkan Sabah sebagai antara pemain utama dalam ekonomi biru serantau.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.