Sabah Utamakan Capaian Digital Menyeluruh Termasuk Luar Bandar
Kerajaan Negeri Sabah komited memperluas capaian digital kepada semua lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar, sejajar dengan usaha merapatkan jurang digital serta memperkasakan pembangunan berasaskan teknologi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, transformasi digital merupakan antara komponen utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kerana ia berperanan merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Menteri Digital Malaysia, Tuan Gobind Singh Deo, di pejabatnya di Menara Kinabalu pada 19hb Jun 2025.

Dalam kunjungan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam pelaksanaan inisiatif digital di Sabah.
Gobind Singh Deo turut berada di negeri ini untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) Negeri Sabah, yang menjadi platform penting membincangkan hala tuju transformasi digital di peringkat negeri.