Media Perlu Jalankan Tugas Secara Beretika dan Bertanggungjawab – Ketua Menteri

berita-sabahJune 2025news

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa pengamal media agar terus menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti, profesionalisme dan berlandaskan prinsip kewartawanan yang bertanggungjawab. Menurut beliau, peranan media sangat penting dalam menyampaikan maklumat secara jelas dan berkesan kepada rakyat, sekali gus membantu memperkukuh kejayaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri.

“Sebagai pihak yang mempunyai hubungan erat dengan kerajaan, media berfungsi menyampaikan dasar pembangunan di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada rakyat. Justeru, kerjasama strategik ini perlu terus dipertingkatkan,” katanya ketika berucap pada 29 Jun 2025 semasa Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2025 yang berlangsung di Grand Ballroom Magellan Sutera, di sini.

Hajiji berkata, laporan-laporan media bukan sahaja menyebarkan maklumat penting, malah turut membantu kerajaan memahami situasi di peringkat akar umbi dan rintihan rakyat. “Kerajaan amat mengalu-alukan laporan seperti ini daripada media, yang menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru agar media terus menjadi penyedia maklumat yang sahih dan dipercayai, serta memainkan peranan sebagai platform penting untuk menyampaikan info tepat dan pantas kepada masyarakat.

Mengulas mengenai penganjuran Kinabalu Press Awards, Hajiji berkata ia merupakan inisiatif penting anjuran Persatuan Wartawan Sabah bersama kerajaan negeri dan penaja lain, dalam mengiktiraf dedikasi dan profesionalisme pengamal media tempatan. “Majlis ini mampu menjadi platform terbaik untuk menyuntik semangat, fokus dan komitmen dalam kalangan wartawan agar terus menghasilkan laporan yang telus dan beretika,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan peranan media dan sentiasa memberikan sokongan termasuk bantuan tajaan kewangan kepada program seperti KPA, yang meningkat setiap tahun. “Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan berharap kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus menyumbang secara berwibawa demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.