Program TVET Tingkatkan Kemahiran Belia
Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen tinggi dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai strategi utama untuk membebaskan belia Sabah daripada kitaran pengangguran. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei 2025 menjadi titik tolak penting dalam menjadikan TVET sebagai pilihan utama dan bukannya sekadar alternatif.
“TVET bukan sahaja menyediakan kemahiran teknikal, tetapi juga memberi kekuatan kepada individu untuk membina masa depan, mencipta pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika merasmikan Simposium TVET Sabah di Magellan Sutera Harbour pada 9hb Julai 2025.
Beliau berkata, Sabah yang kaya dengan sumber asli serta berpotensi besar dalam sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan dan pembuatan memerlukan modal insan berkemahiran tinggi untuk terus berkembang. Dalam konteks ini, Hajiji menyeru ibu bapa dan masyarakat supaya mengubah persepsi terhadap TVET dan menjadikannya sebagai laluan utama kerjaya anak-anak.
“TVET kini sejajar dengan keperluan pasaran kerja dan menawarkan peluang kepada belia untuk menjadi profesional, usahawan dan inovator masa depan. Bidang seperti automasi dan kecerdasan buatan amat penting dalam era Revolusi Industri 4.0,” katanya. Menurutnya lagi, pelbagai inisiatif pembangunan modal insan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri mulai menunjukkan hasil dengan penurunan kadar pengangguran Sabah daripada 8.2% pada 2021 kepada 7.5% pada 2023.
Namun begitu, data Jabatan Perangkaan menunjukkan cabaran besar masih wujud apabila 58.6% penganggur di Sabah terdiri daripada belia berumur 15 hingga 24 tahun, dan lebih separuh hanya berpendidikan setakat sekolah menengah. “Ini membuktikan perlunya latihan kemahiran dan pendidikan lanjutan untuk meningkatkan kebolehpasaran golongan belia,” jelas beliau.
Simposium dua hari bertemakan “TVET Mampan untuk Masa Depan Modal Insan Sabah: Ekosistem TVET Bersepadu” diharapkan mampu menjadi platform kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri dalam membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.




