Affin Dapat Menyumbang Kepada Inisiatif SMJ

berita-sabahJuly 2025news
Hajiji with Dato' Agil Natt , Chairman of AFFIN Bank Berhad; and Haji Musa Abdul Malek , Chairman of AFFIN Islamic Bank Berhad at the opening of AFFIN Bank’s Inanam Branch.

Kumpulan Affin menyambut ulang tahun ke-50 AFFIN pada 2025 – lima dekat dengan pertumbuhan dan sumbangan di Malaysia. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) dibangunkan sebagai kerangka utama pelbagai pelan pembangunan sektor dan bertujuan memastikan manfaat kemajuan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar seperti Inanam.

“SMJ berlandaskan tiga teras utama – pertanian, perindustrian dan pelancongan; pelaburan dalam modal insan; serta mempertingkatkan hubungan dengan pendekatan hijau. Kita bukan hanya membina ekonomi, tetapi masa depan bersama,” katanya ketika merasmikan AFFIN Cawangan Inanam di Plaza Kolombong pada 10hb Julai 2025.

Hajiji menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak akan berlaku tanpa kewangan yang inklusif. Beliau menyatakan bahawa 98 peratus perniagaan di Sabah terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menjadi pemangkin ekonomi tempatan namun sering berhadapan cabaran seperti akses kredit terhad, kekurangan kesiapsiagaan digital, dan ketidakupayaan bersaing di pasaran moden.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar institusi kewangan seperti AFFIN memainkan peranan aktif dalam menyalurkan pembiayaan bersasar bagi sektor pertanian, eko-pelancongan, serta sokongan kepada usahawan wanita dan program literasi kewangan bagi belia Sabah.

“Kita percaya rakyat Sabah harus diberi kuasa dengan alat dan sokongan kewangan yang mampu membuka potensi mereka untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negeri,” ujarnya. Katanya lagi, kemajuan sebenar bermula dengan akses kepada modal dan perkhidmatan kewangan, terutama untuk masyarakat luar bandar, perniagaan mikro dan usahawan digital yang baru bertapak.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan AFFIN atas kejayaan korporatnya termasuk disenaraikan dalam Fortune Southeast Asia 500 buat tahun kedua berturut-turut serta kejayaan dalam pasaran bon USD yang mencatatkan lebihan langganan sebanyak 3.5 kali.