Sabah Mampu Berwajah Baharu Jika GRS Terus Diberi Mandat
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin Sabah mampu berubah menjadi negeri yang lebih maju, makmur dan sejahtera jika rakyat terus memberi mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Menurut beliau, sepanjang hampir lima tahun menerajui kerajaan, pentadbiran GRS telah berjaya mencatat pelbagai pencapaian penting, khususnya dalam pemulihan ekonomi negeri serta peningkatan hasil dan pelaburan.
“Ketika kita mengambil alih pentadbiran pada September 2020, Sabah sedang berdepan krisis ekonomi yang paling buruk dalam sejarah. Namun melalui pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0), kita bukan sahaja berjaya memulihkannya, malah melonjakkan prestasi ekonomi negeri ke tahap yang membanggakan,” katanya semasa menyempurnakan penutupan Konvensyen PBS-STAR 2025 di Hongkod Koisaan, KDCA pada12hb Julai 2025.
- Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM83.2 bilion pada 2023;
- Hasil negeri mencecah hampir RM7 bilion untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2022, berbanding hanya RM3.59 bilion pada tahun 2020;
- Rizab kerajaan negeri kini berjumlah RM8.6 bilion;
- Jumlah pelaburan domestik dan asing yang dibawa masuk sejak 2021 ialah RM35.38 bilion.

Hajiji menegaskan kejayaan ini adalah bukti nyata kecekapan pentadbiran GRS dan tidak wajar dinafikan oleh mana-mana pihak. “Hanya pembangkang sahaja yang memilih untuk menutup mata dan menafikan fakta-fakta ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa GRS bukan hanya menumpu pada kemajuan ekonomi, malah komited dalam membasmi kemiskinan tegar, memperkukuh infrastruktur asas, serta memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri termasuk kawasan pedalaman. Hajiji berkata, hala tuju SMJ adalah pelan strategik jangka panjang yang menyeluruh merangkumi pembangunan sumber manusia, pengurusan hasil bumi serta tadbir urus yang cekap.
“Dengan iltizam politik yang kukuh, iklim ekonomi yang positif dan kestabilan politik yang telah kita bina sejak 2020, saya percaya Sabah akan terus melangkah ke hadapan,” katanya. Beliau turut mengingatkan semua ahli dan pemimpin GRS agar bersatu dalam menghadapi tohmahan politik, serangan pembangkang dan usaha terselindung untuk melemahkan gabungan itu. “GRS ini rumah kita. Kalau bukan kita sendiri yang menjaganya, siapa lagi?” ujar beliau penuh semangat.
Dalam pada itu, Hajiji menyifatkan Konvensyen PBS-STAR 2025 sebagai detik penting yang memperkukuh muafakat politik tempatan. Beliau memuji kerjasama erat antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebagai bukti kematangan politik dan komitmen mendahulukan kepentingan rakyat. “Konvensyen ini menzahirkan penyatuan parti-parti tempatan yang berpegang kepada prinsip sendiri, namun bersatu atas landasan perjuangan demi rakyat Sabah,” katanya mengakhiri ucapan.