Enakmen Perubahan Iklim Buka Ruang Pelaburan Pasaran Karbon Sabah
Kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 oleh Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini membuka peluang baharu kepada negeri itu untuk menarik pelabur, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau menegaskan bahawa undang-undang ini memberi keyakinan kepada pelabur, namun potensi sebenar terletak pada kerjasama serantau ASEAN melalui pembentukan pasaran karbon yang seragam, selaras dan diiktiraf merentasi sempadan.
Ucapan beliau yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, menyatakan bahawa enakmen ini menubuhkan Majlis Tindakan Iklim Sabah, Tabung Iklim, inventori pelepasan karbon peringkat negeri dan kerangka perkongsian manfaat khusus untuk komuniti pribumi. Hak karbon juga kini disahkan sebagai milik Kerajaan Negeri, dengan semua aktiviti berkaitan karbon ditadbir melalui struktur jelas dan boleh dikuatkuasakan.

Hajiji turut memaklumkan bahawa Sabah merupakan antara bidang kuasa dunia yang menyerap lebih banyak karbon berbanding melepaskan, menyumbang kira-kira 36% daripada jumlah keseluruhan penyerapan karbon Malaysia. Status ini dilihat bukan hanya sebagai penanda aras alam sekitar, tetapi juga sebagai aset ekonomi strategik yang boleh digunakan sebagai daya saing global.
Beliau menekankan sektor perhutanan sebagai tonggak utama ekonomi dan alam sekitar Sabah, seiring pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Melalui Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022, negeri ini menyasarkan pemulihan 400,000 hektar hutan terosot dalam tempoh 15 tahun, yang dijangka menjana RM11 bilion kepada KDNK Sabah dan mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan.

Selain sektor kayu, Sabah turut mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar utama minyak sawit mentah (CPO) negara, menyumbang lebih 25% daripada pengeluaran nasional. Dengan pengeluaran CPO Malaysia mencapai 19.3 juta tan pada 2024, Sabah memanfaatkan kelebihan ini untuk menggalakkan pelaburan hiliran, biofuel dan biojisim melalui kemudahan seperti Palm Oil Industrial Cluster di Lahad Datu dan Sipitang Oil and Gas Industrial Park.
“Perhutanan dan iklim kini menjadi teras kepada strategi ekonomi Sabah. Dengan undang-undang jelas, institusi kukuh dan hala tuju pembangunan mapan, Sabah bersedia menyertai pasaran karbon global. Kami mengalu-alukan kerjasama dan pelaburan jangka panjang dari ASEAN dan seluruh dunia – melabur di Sabah bermakna melabur dalam masa depan hijau,” katanya semasa Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan ASEAN 2025 di Kota Kinabalu.
