Sektor Pertanian Terus Menjadi Pemacu Ekonomi Sabah
Kerajaan Negeri Sabah kekal komited untuk memastikan sektor pertanian terus menjadi enjin pertumbuhan utama yang dinamik dan berdaya tahan, sejajar dengan matlamat menjadikan negeri ini sebagai peneraju keterjaminan makanan negara. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sektor pertanian bukan sahaja penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negeri, malah memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan rakyat.
“Pada tahun lalu, sektor ini menyumbang RM12.2 bilion, bersamaan 14.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah. Justeru, kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada usaha memperkasa sektor ini melalui pendekatan yang lebih strategik dan inklusif,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada 3hb Ogos 2025.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata Sabah mengambil langkah berani dalam menyokong agenda keterjaminan makanan dengan menubuhkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah pada tahun 2024, selepas penutupannya pada 1981. Penubuhan semula lembaga ini bertujuan memperkasa industri padi tempatan dan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras kepada 30% menjelang 2026 dan 60% menjelang 2030.
“Ini selaras dengan keutamaan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri yang memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian, khususnya penanaman padi dan pengeluaran beras tempatan,” jelas beliau.
Dalam usaha mempercepatkan transformasi sektor agromakanan, Hajiji turut menekankan pentingnya penerapan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT) dan pertanian pintar untuk meningkatkan produktiviti dan menarik minat golongan muda dalam sektor ini.Sehingga kini, Sabah mempunyai 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang telah menghasilkan lebih 1,494 metrik tan hasil makanan dan menjana pulangan melebihi RM4.32 juta.
Selain itu, beliau mengumumkan pelaburan strategik pertama dalam sektor Ekonomi Biru, melibatkan pembangunan pelabuhan pendaratan ikan tuna bertaraf Kesatuan Eropah di Kota Kinabalu. Projek kerjasama antara Kerajaan Negeri dan syarikat tempatan ini melibatkan pelaburan sebanyak RM360 juta dan dijangka mendaratkan sehingga 50,000 tan ikan tuna setahun, dengan potensi nilai ekonomi sehingga RM1.8 bilion setahun. “Pelabuhan ini akan meletakkan Sabah sebagai antara pemain utama dalam industri perikanan laut dalam negara,” tambah beliau.
Hajiji turut menyeru komuniti peladang, penternak dan nelayan di Sabah agar bersedia menerima perubahan dan mengadaptasi amalan pertanian moden melalui penggunaan teknologi dan kaedah baharu. “Kita mahu komuniti ini menjadi pemain yang progresif dan kompetitif. Masa depan sektor ini bergantung kepada keupayaan mereka untuk berinovasi serta menyesuaikan diri dengan landskap baharu pertanian moden,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan sektor pertanian agar ia mampu menjana pendapatan kepada rakyat, memastikan keterjaminan makanan negara, dan menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan negeri.