Sabah Fokus Perkasa Modal Insan dan TVET
Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan sebagai teras utama dalam menjayakan misi menjadikan Sabah sebuah negeri maju, berdaya saing dan inklusif, dengan menekankan kepentingan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET). Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pelaburan dalam pembangunan modal insan adalah pelaburan jangka panjang paling penting untuk memastikan generasi muda Sabah dapat menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sabah memerlukan tenaga kerja tempatan yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, tetapi juga berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran industri semasa. Oleh itu, Kerajaan Negeri memberi penekanan serius terhadap pendidikan dan latihan kemahiran melalui pelbagai inisiatif,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS 2025 pada 4hb Ogos 2025 di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.
Menurut Hajiji, menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan, termasuk RM848.26 juta untuk bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus bagi program pembangunan bakat dan kemahiran. “Kita tidak mahu hanya membina infrastruktur fizikal, tetapi lebih penting, kita mahu membina kapasiti dan kualiti rakyat Sabah itu sendiri,” tegas beliau.
Ketua Menteri turut menyifatkan sokongan PETRONAS dalam bidang pendidikan sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh ekosistem modal insan negeri. “Saya yakin, dengan pelaburan yang berterusan dalam pendidikan dan pembangunan belia, PETRONAS turut membantu meletakkan asas masa depan Sabah yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif,” katanya.
Dalam memperkasa pendidikan TVET, Hajiji turut mengumumkan pengiktirafan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) sebagai institusi berakreditasi di bawah Kod Amalan Pentauliahan Program TVET (COPTPA). “Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan KTC dalam menyediakan latihan bertaraf tinggi bagi memenuhi keperluan industri, khususnya dalam sektor minyak dan gas,” katanya.
Sebanyak 20 pelatih baharu dijangka memulakan pengajian dalam program Diploma Kemahiran Malaysia di KTC, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap institusi tersebut dalam melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.
Beliau turut menekankan bahawa Sabah memerlukan lebih ramai belia yang menceburi bidang teknikal bukan sahaja dalam sektor tradisional seperti pembinaan dan perindustrian, tetapi juga sektor baharu seperti ekonomi digital, pelancongan dan pertanian moden. “TVET adalah pilihan utama untuk laluan kerjaya yang stabil dan bernilai tinggi dalam ekonomi masa hadapan,” ujarnya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan di Sabah melalui program seperti Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS dan Biasiswa Kecil PETRONAS untuk pelajar sekolah menengah. “Program seperti ini bukan sahaja menghargai usaha pelajar, tetapi juga memberi inspirasi untuk terus berjaya. PETRONAS bukan sekadar pelabur industri, tetapi rakan strategik penting dalam membentuk masa depan Sabah,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Ketua Menteri menegaskan bahawa sinergi yang kuat antara Kerajaan Negeri dan pihak industri adalah kunci untuk membawa Sabah ke arah pembangunan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan kompetitif. “Kita berada di landasan yang betul, dan dengan kerjasama semua pihak, saya yakin Sabah mampu mencapai masa depan yang lebih cemerlang,” tambah beliau.