Program Justice on Wheels (JoW) Diperluas di Sabah

Aug 2025berita-sabahnews
Datuk Jahid diiringi Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, meninjau operasi salah satu kaunter *Justice on Wheels* di Tuaran.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berharap program Justice on Wheels (JoW) anjuran Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan pedalaman bagi memastikan lebih ramai rakyat di negeri ini menikmati akses kepada perkhidmatan bantuan guaman.

“Ini adalah aspek penting kepada kesejahteraan rakyat kerana ia memastikan sistem keadilan kita bersifat inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat. Program ini, yang menumpukan kepada penyampaian keadilan secara menyeluruh dan efisien, terutama kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau kurang bernasib baik, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bahawa tiada seorang pun rakyat yang tertinggal daripada mendapatkan akses kepada keadilan,” katanya ketika menghadiri program JoW di Tuaran pada 20 Ogos 2025.

Menurutnya, pelaksanaan JoW mencerminkan kesungguhan kerajaan mengutamakan peranan JBG untuk membela hak golongan kurang berkemampuan dalam mendapatkan keadilan saksama. “Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan untuk mempromosikan perkhidmatan bantuan guaman serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kemudahan yang disediakan kerajaan. Ini penting agar tiada pihak terpinggir daripada proses perundangan hanya kerana masalah ketidakmampuan atau kekurangan pengetahuan,” jelasnya.

Hajiji turut menekankan, perolehan sebuah van khas untuk Sabah, dikenali sebagai Van JoW Sabah yang dilancarkan di Penampang pada Januari 2024, adalah bukti komitmen kerajaan MADANI selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam menyediakan akses keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira lokasi.

Sepanjang 2024, JBG telah menganjurkan 28 program JoW di Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kedah dan Terengganu. Di Sabah sahaja, program ini dilaksanakan di lima daerah iaitu Pitas, Tongod, Papar, Sipitang dan Paitan. Bagi tahun 2025, JoW telah diperluaskan ke Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Beaufort dan Tuaran.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim.