Lebih 30,000 Pekebun Kecil Sawit Sabah Capai Pensijilan MSPO
Lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah melibatkan lebih 191,000 hektar ladang telah memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat April 2025. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pencapaian ini mewakili kadar pensijilan 97.62 peratus — antara yang tertinggi di Malaysia.
“Pencapaian ini melambangkan kemajuan kolektif kita serta kepentingan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, industri, dan komuniti pekebun kecil,” katanya pada Forum Minyak Sawit Malaysia Timur (EMPOF2025) di Hotel Marriot Kota Kinabalu, 21 Ogos 2025.
Menurut Hajiji, di Sabah hampir 97 peratus kawasan tanaman telah disijilkan di bawah MSPO, manakala di Sarawak lebih 92 peratus. Namun, usaha perlu dipergiat bagi mencapai 100 peratus pensijilan, khususnya melibatkan Pekebun Kecil Persendirian. Beliau menegaskan, cabaran industri termasuk memenuhi piawaian global yang sentiasa berubah, memastikan kelestarian alam sekitar, dan berdepan tekanan pasaran memerlukan pendekatan proaktif serta inovatif.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melaksanakan Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit Mampan Sabah (JASPO) sejak 2015, dengan sasaran 100 peratus pengeluaran minyak sawit mampan menjelang 2030. Pendekatan ini menyelaras aspirasi Sabah dengan piawaian nasional dan antarabangsa seperti MSPO, RSPO dan Peraturan Pembalakan EU (EUDR), selain memastikan pekebun kecil — yang menyumbang lebih 27 peratus pengeluaran Sabah — tidak tercicir.
Sabah kini kekal peneraju dengan 1.48 juta hektar kawasan tanaman sawit dan pengeluaran tahunan melebihi 4.2 juta tan metrik minyak sawit mentah (CPO). Bersama Sarawak, kedua-dua negeri ini menyumbang lebih 55 peratus daripada jumlah kawasan sawit negara, menjadikan Malaysia pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia.
“Lebih penting, industri sawit bukan sekadar angka keluasan atau jumlah tan, tetapi kisah perubahan kehidupan. Ia menyara lebih 300,000 rakyat Malaysia, menyokong 85,000 pekebun kecil, serta membawa pembangunan luar bandar daripada jalan raya, sekolah, klinik hingga rangkaian digital,” kata Hajiji.
Beliau yakin dengan pelaburan strategik, tadbir urus kukuh, serta penglibatan berterusan dengan pihak berkepentingan, industri sawit Malaysia akan terus berkembang dan memberi manfaat bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga global.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.