GRS Tidak Pernah Aniaya Pegawai Lantikan Warisan

Aug 2025berita-sabahnews
Hajiji bersalam dengan jemputan yang menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah di Kudat; dan Hajiji menerima cenderamata daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Kapor, Datuk Chong Chen Bin @ Ben Chong pada majlis tersebut.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menzalimi atau menyingkirkan mana-mana pegawai termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi negeri yang dilantik semasa pentadbiran Parti Warisan.

Beliau berkata sebaik dilantik sebagai Ketua Menteri hampir lima tahun lalu, beliau sendiri menemui pegawai terbabit dan meminta mereka meneruskan khidmat kepada kerajaan. “Sepanjang saya menjadi Ketua Menteri, tidak pernah walau seorang pun pegawai lantikan Warisan dianiya. Berbeza dengan apa yang berlaku ketika Warisan memerintah lebih dua tahun, mereka banyak mencantas dan menekan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah di Kudat Golf & Marina Resort pada 23 Ogos 2025.

Hajiji menjelaskan masalah air yang dihadapi rakyat kini berpunca daripada tindakan kerajaan Warisan menamatkan kontrak lapan syarikat konsesi air. Katanya, tindakan itu menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan RM315 juta selepas kes dibawa ke mahkamah. Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan GRS tetap bertanggungjawab dan telah memperuntukkan ratusan juta ringgit untuk menaik taraf loji air di beberapa kawasan, termasuk projek naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon di Papar daripada 40 juta liter sehari kepada 80 juta liter sehari yang dijangka siap pada 2026.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menyentuh mengenai Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang tertangguh lebih empat tahun selepas syarikat konsultan dihentikan ketika Warisan berkuasa. Katanya, Warisan tidak melakukan sebarang perubahan besar sepanjang tempoh pemerintahannya, namun kini cuba menyalahkan kerajaan semasa selepas hilang kuasa.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat menjadikan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebagai peluang mengekalkan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH). “Kalau kerajaan bekerja untuk rakyat, membantu golongan miskin, pelajar dan meningkatkan ekonomi serta industri negeri, tidak ada sebab untuk menolaknya pada pilihan raya nanti. Saya berharap rakyat memberikan kepercayaan kepada calon GRS di mana sahaja mereka bertanding,” katanya.