Pemulihan Ekonomi Sabah Bukti Keberkesanan Pentadbiran GRS

Aug 2025berita-sabahnews
Hajiji disambut oleh rakyat Pulau Banggi setibanya di Dewan Terbuka Kobong, Pulau Banggi; dan Hajiji diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan ADUN Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin melakukan gimik pecah tanah projek bekalan air.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kemampuan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memulihkan ekonomi negeri selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 membuktikan kerajaan berfungsi dengan baik. Sejak lima tahun lalu kerajaan pimpinannya memberi tumpuan kepada tiga sektor utama – perindustrian, pelancongan dan pertanian – yang berjaya melonjakkan hasil negeri hampir RM7 bilion setahun berbanding hanya sekitar RM4 bilion sebelum itu.

Walaupun tahun pertama kita berdepan wabak COVID-19, kerajaan tetap merancang dengan teliti hala tuju ekonomi Sabah untuk jangka panjang. Melalui sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian, kita bukan sahaja berjaya memulihkan ekonomi, malah meningkatkan hasil negeri kepada hampir RM7 bilion setahun. Ini bukti kerajaan kita berfungsi untuk rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Skim Penambahan Bekalan Air Pulau Banggi bernilai RM62 juta di Dewan Terbuka Kobong, Pulau Banggi pada 23 Ogos 2025.

Hajiji menolak dakwaan pembangkang yang menyatakan kerajaan GRS gagal, sebaliknya menegaskan kegagalan sebenar berlaku semasa pentadbiran terdahulu.“Kalau dapat pulihkan ekonomi, tingkatkan hasil dan memperkenal pelbagai inisiatif untuk rakyat, itu bukan kegagalan. Yang gagal ialah mereka sebelum ini kerana tidak ada perancangan jelas, termasuk di Pulau Banggi,” katanya.

Beliau turut menekankan potensi Pulau Banggi sebagai pulau terbesar di Sabah untuk dimajukan dalam pelbagai sektor, termasuk pelancongan dan perdagangan rentas sempadan melalui perdagangan barter dengan negara jiran. “Pulau Banggi ini istimewa dan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan. Jika perdagangan barter dapat dihidupkan semula, ia boleh merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat,” jelasnya.

Seiring dengan itu, kerajaan sedang menimbangkan permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin untuk menaik taraf Banggi daripada daerah kecil kepada sebuah daerah penuh. Selain itu, Hajiji meluluskan peruntukan RM6 juta bagi pembinaan sebuah dewan baharu serta RM1 juta untuk dewan kebudayaan masyarakat Banggi. “Segala usaha ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Pulau Banggi yang masih memerlukan perhatian. Kita bukan hanya melaksanakan projek besar, tetapi juga memberi tumpuan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.