GRS Sentiasa Utamakan Rakyat Sabah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menolak dakwaan pembangkang bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah kerajaan yang gagal.Beliau menegaskan, pencapaian kerajaan negeri dalam meningkatkan hasil Sabah daripada RM4 bilion kepada hampir RM7 bilion setahun serta pelaksanaan ratusan inisiatif membuktikan keberkesanan pentadbiran GRS.

“Jika benar kerajaan ini gagal, kita tidak mungkin mampu menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat atau meningkatkan hasil negeri sebanyak itu. Sebaliknya, pembangkang hanya tahu menyebarkan fitnah di media sosial. Ketika mereka berkuasa dua setengah tahun, tiada perancangan jelas dibuat,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Komuniti Sabah Maju Jaya (SMJ) bersama Ketua Menteri di Kampung Pantai Emas pada 24 Ogos 2025.
Hajiji berkata, sejak mengambil alih pentadbiran, kira 400 inisiatif di bawah pelan pembangunan Hala Tuju SMJ, dengan 94 peratus daripadanya sudah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Antara pencapaian utama ialah perbelanjaan RM1.49 bilion bagi bantuan kebajikan yang memberi manfaat kepada lebih 336,000 penerima antara 2021 hingga 2024, selain tambahan RM385.5 juta untuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) pada 2025 yang menyasarkan 100,000 penerima.“Bagi tahun 2025 sahaja, kerajaan negeri memperuntukkan RM488.5 juta untuk pelbagai program pembasmian kemiskinan,” jelasnya.
Hajiji turut menegaskan kerajaan memberi perhatian besar kepada pembangunan modal insan, dengan RM1.33 bilion dibelanjakan dalam bidang pendidikan termasuk peningkatan peruntukan biasiswa negeri kepada RM138 juta pada 2025 berbanding RM50 juta sebelum ini. Selain itu, katanya, kerajaan turut menekankan aspek Ekonomi Biru untuk menjana kekayaan baharu serta meningkatkan pendapatan negeri melalui penglibatan lebih besar dalam sektor minyak dan gas selepas termeterainya Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) bersama Petronas.
Mengulas mengenai Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), Hajiji menolak dakwaan pembangkang yang mendakwa memulakan program tersebut, sebaliknya menegaskan ia telah lama dilaksanakan sebelum pentadbiran mereka. “Saya perlu jelaskan perkara ini kerana tidak mahu rakyat terpedaya dengan pembohongan pembangkang,” tegasnya. Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut menyeru rakyat Kota Belud memastikan kemenangan gabungan itu di semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan geran tanah PANTAS kepada 10 penerima mewakili 502 yang lain, selain menyerahkan bantuan kebajikan, kunci Rumah Mesra SMJ, serta sumbangan kepada 66 sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).