Yayasan Sabah Terus Jadi Nadi Pembangunan Negeri

Aug 2025berita-sabahnews

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) terus menjadi tonggak pembangunan negeri sejak ditubuhkan pada tahun 1966 dengan mandat memastikan hasil negeri dapat dinikmati semua rakyat.

“Yayasan Sabah bukan sekadar sebuah institusi, ia adalah legasi perjuangan yang diasaskan oleh pemimpin ulung Sabah, Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun. Tahun hadapan akan menandakan ulang tahun ke-60 Yayasan Sabah, satu pencapaian luar biasa bagi sebuah organisasi yang ditubuhkan demi rakyat,” katanya ketika merasmikan Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan, Tambunan.

Menurut Hajiji, YSBR 2025 membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk terus turun padang, mendekati rakyat di bandar hingga ke pelosok desa bagi memahami dan menangani keperluan sebenar rakyat.

Beliau berkata, bantuan pendidikan Yayasan Sabah telah membantu ramai anak-anak Sabah keluar daripada kitaran kemiskinan dan berjaya menjadi profesional serta pemimpin. Institusi pendidikan di bawah naungannya seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) terus menjadi platform melahirkan generasi berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) khusus untuk pelajar daripada keluarga B40. Sejak 2022, sebanyak RM17.8 juta telah disalurkan, memberi manfaat kepada 10,912 pelajar.

Selain pendidikan, Yayasan Sabah turut diiktiraf sebagai peneraju dalam pemuliharaan alam sekitar. Sehingga 2025, sebanyak 199,146 hektar atau 94.5% daripada kawasan pemuliharaan Yayasan Sabah seluas 210,725.6 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).

“Kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum, Banjaran Maliau, Imbak Canyon, Sungai Taliwas dan Pantai Silam kini diiktiraf sebagai rujukan saintifik bertaraf dunia. Usaha ini bukan sahaja melindungi alam semula jadi tetapi mengukuhkan identiti Sabah sebagai negeri yang menghormati warisan untuk generasi akan datang,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah turut menyampaikan tajaan pendidikan, bantuan TPNS kepada pelajar, serta pewartaan Tapak Kampung.