Teruskan Semangat Patriotisme, Perpaduan dan Keharmonian

Aug 2025berita-sabahnews

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus memupuk semangat patriotisme, mengekalkan perpaduan serta memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama. Dalam perutusan sempena Hari Sabah dan Hari Kebangsaan 2025, beliau berkata kedua-dua perayaan ini menjadi wadah penting untuk mengimbau sejarah, memperkukuh jati diri serta menyemai rasa cinta terhadap negeri.

Menurutnya, tarikh 31 Ogos amat signifikan dalam lipatan sejarah Sabah kerana menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah secara serentak. “Dua peringatan ini berperanan sebagai faktor penyatuan bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya. Hajiji menegaskan bahawa sambutan tersebut bukan sekadar acara tahunan, tetapi juga masa untuk mengenang pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang berjuang demi kebebasan negara.

Beliau turut menyatakan tema Hari Kebangsaan 2025: ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’ dan tema Hari Sabah 2025: ‘Untukmu Sabah Tanah Airku’ menekankan mesej yang selari dengan prinsip Madani serta pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). “Marilah kita terus berwaspada terhadap sebarang elemen negatif yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan serta berpotensi membawa kepada perpecahan,” katanya.