Kampus ABM Sabah Bernilai RM130.6 Juta Pacu TVET
Sabah mencatat sejarah baharu dalam pembangunan modal insan apabila Projek Pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah di Beringgis, Papar, bernilai RM130.6 juta. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata kampus baharu di kawasan seluas 34 ekar itu bakal menjadi pemangkin utama memperkasa golongan belia dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam sektor pembinaan.
Menurut beliau, kampus moden berteknologi tinggi itu mampu menampung sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa, sekali gus meningkatkan kapasiti latihan belia sebanyak 73 peratus dan personel binaan sebanyak 39 peratus berbanding kampus sementara ABM pada 30 Ogos 2025 di Kayu Madang, Kota Kinabalu.
“Hari ini kita membuka lembaran baharu untuk Sabah. Kampus ini akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, menggilap bakat anak muda serta meningkatkan daya saing mereka di pasaran pekerjaan, selain menjadi hab TVET Pembinaan Malaysia Timur,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan.
Hajiji menegaskan pembangunan itu selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan infrastruktur dan modal insan sebagai tonggak pertumbuhan ekonomi. Katanya, penubuhan Majlis TVET Negeri Sabah (MTS) pada Mei 2025 membuktikan komitmen kerajaan dalam menyelaras lebih 160 institusi latihan TVET agar seiring dengan keperluan industri.

Sejak penubuhannya, ABM Sabah dan CIDB Tech telah melatih lebih 7,000 pelatih dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 85 peratus. Bidang latihan berimpak tinggi termasuk pemasangan perancah (scaffold erection), kimpalan, pemasangan paip gas, operasi jentera, elektrik, penyaman udara dan perpaipan, yang turut mendapat permintaan dalam industri minyak dan gas antarabangsa. “Dengan adanya teknologi terkini seperti dron, simulasi dan peralatan digital, Sabah berpotensi melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk memenuhi permintaan pasaran global,” jelasnya.
Selain memberi limpahan ekonomi kepada daerah Papar, khususnya Kampung Beringgis, kampus ini diharap mampu melahirkan lebih ramai ikon TVET baharu, mencontohi kejayaan Rudy Mohammad, alumni ABM Sabah dalam bidang Architectural Drafting yang diiktiraf sebagai Ikon TVET Pembinaan 2024.
Dalam majlis sama, turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ABM Sabah dengan tiga rakan strategik iaitu Sabah Housing and Real Estate Developers Association (SHAREDA), KTI Sdn Bhd dan TAS Institute of Oil & Gas, bagi membuka peluang pekerjaan kepada graduan ABM.
Hajiji turut mengumumkan pembinaan sebuah Dewan Masyarakat baharu di Kampung Beringgis yang akan dinamakan Dewan Tan Sri Osu Sukam, sebagai penghormatan kepada mantan Ketua Menteri Sabah itu yang juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang.