Umat Islam Perlu Hayati Sirah Rasulullah
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru umat Islam di Sabah agar mencontohi sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar melalui ucapan atau sambutan, tetapi dengan mengamalkannya dalam kehidupan seharian sebagai umat yang bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Beliau menegaskan bahawa sambutan Maulidur Rasul bukan hanya untuk mengenang kelahiran Rasulullah SAW, tetapi juga sebagai tanda kasih kepada Baginda, serta komitmen untuk menjadikan sunnah dan ajaran Islam sebagai panduan dalam membina masyarakat yang maju, sejahtera dan berakhlak mulia.
Menurut beliau, Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah berasaskan iman, keadilan sosial dan perpaduan kaum — satu model yang wajar dicontohi serta disesuaikan dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama di Sabah. Dengan kerjasama erat antara kerajaan, institusi agama, NGO dan masyarakat, beliau yakin Sabah mampu melahirkan umat yang berilmu, berakhlak dan bersatu menuju kemajuan negeri.
Beliau menyampaikan perkara itu dalam perutusan perasmian Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Sandakan. Hajiji turut menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan agama, institusi Islam, serta memperkasakan belia dan wanita selaras dengan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan modal insan.
Tema sambutan tahun ini, “Membangun Ummah Madani”, menurut beliau, amat bertepatan dengan cabaran dan harapan rakyat Sabah yang berbilang kaum, budaya dan agama. Ia juga menggambarkan hasrat kerajaan untuk membina masyarakat yang seimbang dari segi rohani dan material, berpegang pada nilai Islam sambil mengejar kemajuan dan perpaduan.
Kerajaan negeri turut memutuskan agar sambutan Maulidur Rasul akan diadakan di pelbagai daerah utama bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat turut serta bersama pemimpin. Dalam lawatannya ke Sandakan, Hajiji memaklumkan pembinaan Pusat Islam Sandakan bakal menjadi mercu tanda baharu yang memperkukuh syiar Islam di negeri ini. Beliau menambah, Sandakan akan terus dibangunkan secara menyeluruh dan inklusif, sejajar dengan kedudukannya sebagai bandar kedua terbesar di Sabah yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan.